Categories
AGENSI SELANGOR

Kakitangan Invest Selangor lafaz ikrar, lancar pelan anti rasuah

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris mengetuai 66 kakitangan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Beliau berkata selaku organisasi penggalakan pelaburan, semua kakitangan perlu mengamal serta mengekalkan tahap integriti sekali gus menjadi contoh kepada syarikat lain.

“Invest Selangor menjadi cermin kepada Kerajaan Negeri kerana syarikat ini berurusan dengan pelabur, justeru pegawai dan kakitangannya perlu menonjolkan amalan murni.

“Kita tidak mahu lafaz IBR hanya di bibir sahaja, sematkan dalam hati untuk menolak rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Melafazkan dan Menandatangani IBR yang disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim.

Pada majlis sama, Invest Selangor turut melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2023, menjadi anak syarikat pertama Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif itu.

OACP bertujuan menangani kelemahan urus tadbir, integriti dan rasuah dalam kalangan warga Invest Selangor ke arah menjadi organisasi korporat cekap, bertanggungjawab serta amanah.