Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM ubah tapak buang sampah jadi pusat kitar semula

PUCHONG, 29 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengubah tapak pembuangan sampah haram di Jalan BP 4/1, Bandar Bukit Puchong di sini kepada pusat kitar semula.

Pengarah urusannya berkata pusat seluas 1.8 hektar yang mula beroperasi pada Oktober tahun lalu dibina bagi mengurangkan jumlah sampah dihantar ke tapak pelupusan.

“Pembinaan pusat kitar semula ini juga diharap dapat mengurangkan sampah longgok dan haram serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan kitar semula.

“Antara sampah yang boleh dikitar semula di pusat ini termasuk kertas, plastik, aluminum, sisa elektronik yang akan dimampatkan sebelum dijual,” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bandar Bukit Puchong yang disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini Roslan dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pusat Kitar Semula KDEBWM di Jalan BP 4/1 Bandar Bukit Puchong ini adalah yang kedua dibuka selepas yang pertama di Jalan Korporat Meru Klang.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han (tiga, kanan) melihat barangan kitar semula yang ditimbang selepas merasmikan Pusat Kitar Semula KDEB Waste Management di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI