Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 12,000 pemegang akaun dapat semula bekalan air

SHAH ALAM, 31 MAC: Sebanyak 12,462 pemegang akaun di 31 kawasan di Selangor yang mengalami gangguan air berjadual menerima semula bekalan setakat jam 1 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan berkata jumlah itu membabitkan 25.42 peratus daripada 49,030 akaun pengguna yang terlibat.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Air Selangor menyarankan pengguna yang telah mendapat bekalan untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan,” kata syarikat berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berharap pengguna yang mendapat bekalan air menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar.

Maklumat gangguan bekalan air di Petaling, Klang dan Shah Alam seperti berikut:

– Kerja pengalihan dan penyambungan paip pada 30 Mac, jam 9 pagi hingga 9 malam

– Membabitkan lima kawasan di wilayah Petaling, Klang (14) dan Shah Alam (11)

– Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi 1 April

Gangguan bekalan air secara berjadual ini sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Senarai kawasan terjejas boleh didapati melalui semua media sosial Air Selangor termasuk Facebook, laman sesawang www.airselangor.com atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.