Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Rancak aktiviti belia secara fizikal lepas PKP tamat

KUALA LANGAT, 21 MAC: Kerajaan Selangor akan merancakkan aktiviti secara fizikal khusus buat belia negeri sejurus tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini tumpuan terarah kepada program secara maya antaranya Selangor Xtiv Virtual e-Sport yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya jangka berakhirnya PKP tahun ini kita boleh rancakkan program berbentuk fizikal membabitkan generasi muda,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Belia Tukar Minyak Hitam di Kampung Sijangkang di sini.

Program anjuran Belia Kuala Langat sempena Jelajah Kita Selangor menawarkan penukaran minyak hitam secara percuma kepada 100 penduduk di kawasan sekitar.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya akan melihat keperluan anak muda bagi memastikan mereka mempunyai lokasi dan kemudahan sesuai untuk penganjuran aktiviti.

“Sebelum ini kita ada program Dataran Anak Muda, kita hendak tengok keperluan di situ dan pastinya perlu dinaik taraf kerana usianya lebih lima tahun,” katanya lagi.

Selangor satu-satunya negeri yang berjaya menganjurkan pertandingan e-sukan berskala besar bermula tahun lalu dengan menyasarkan belia dari seluruh negara.

Acara yang dijadual berlangsung pada Mac hingga Disember tahun ini membabitkan 10 fasa pertandingan dengan tawaran hadiah sebanyak RM250,000.