Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saringan percuma hujung minggu kesan 39 kes Covid-19

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri mengesan 39 kes positif Covid-19 sepanjang dua hari penganjuran Saringan Komuniti percuma pada hujung minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan bersasar di Puchong, Klang dan Shah Alam melibatkan lebih 1,000 individu.

“Menerusi ujian Covid-19 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada Sabtu dan Ahad lalu di empat lokasi berlainan, seramai 1283 individu tampil membuat saringan.

“Daripada jumlah itu, 39 individu dikesan positif. Ujian percuma ini akan diteruskan minggu ini,” katanya di Facebook.

Semalam, program itu berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Taman Puchong Indah yang mensasarkan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Pada Ahad, saringan diadakan di Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang dan Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.