Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pemain utama aeroangkasa dipelawa sertai Pameran Penerbangan Selangor

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menjemput semua pemain utama industri aeroangkasa menyertai Pameran Penerbangan Selangor (SAS) pada Ogos ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata syarikat terbabit seperti Dassault, Gulfstream, Bell Textron, Leonardo Helicopters, Airbus, Asia Jet dan Systematic Aviation Services.

“Kita berharap syarikat atau pempamer dijemput dapat menyertai SAS. Sama-sama kita berdoa semoga kes Covid-19 terus menurun bagi memastikan perancangan berjalan lancar.

“SAS penting ke arah merealisasikan Serendah, Subang dan Sepang (3S) sebagai kawasan perindustrian khusus aeroangkasa,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran SAS 2021 hari ini.

Invest Selangor selaku agensi penggalakan pelaburan asing dan domestik buat julung kali menganjurkan pameran dijadual berlangsung pada 12 hingga 14 Ogos di Skypark Subang menyasarkan sebanyak 30 pempamer serta 5,000 pelawat.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata SAS 2021 mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu seiring sasaran Selangor sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.