Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar kuasai 70 peratus industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Invest Selangor Bhd menyasarkan 70 peratus daripada keseluruhan syarikat aeroangkasa di Malaysia beroperasi di negeri ini menjelang hujung tahun.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) mempercepat sasaran tersebut.

“Penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) pada Ogos ini juga memberi peluang pemain industri menjalin usaha sama dalam bidang pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan pelbagai lagi.

Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (dua, kanan depan) bergambar bersama penaja selepas melancarkan Selangor Aviation Show 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Meskipun pelaburan industri ini agak perlahan pada tahun lalu tetapi kita yakin sektor aeroangkasa kembali meningkat bermula tahun ini,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran SAS 2021 hari ini.

Pada 18 Mei tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 62 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di Selangor dan jumlah tersebut dijangka meningkat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skop utama sektor aeroangkasa adalah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pembuatan; sistem integrasi; kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

S-DAICO membantu syarikat aeroangkasa mengumpul maklumat, khidmat nasihat, peluang pelaburan serta menyelaras dan memantau projek sekaligus menjadikan negeri ini destinasi pelaburan utama.