Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC saran lima garis panduan cegah Covid-19 di rumah ibadat

SHAH ALAM, 28 MAC: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyarankan beberapa garis panduan susulan kebenaran pembukaan rumah ibadat di negeri ini.

Anggotanya Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengurusan rumah ibadat selain Islam perlu mengamalkan lima langkah mengekang perebakan wabak meliputi:

1. Lindungi warga emas atau orang tua
– Menyediakan tempat khusus kepada golongan berisiko tinggi berumur 60 tahun ke atas, penjarakan fizikal dua meter, memakai pelitup muka dan memastikan sistem pengudaraan berfungsi dengan elok.

2. Menambah sesi upacara rumah ibadat
– Memendekkan waktu setiap sesi upacara serta mengehadkan jumlah kehadiran berbanding sesi panjang melibatkan jumlah kehadiran yang ramai termasuk melakukan proses sanitasi setiap kali sesi berakhir.

3. Manfaat ruang atau tempat terbuka
– Covid-19 mudah merebak di tempat padat, sesak dan tertutup, justeru pengurusan rumah ibadat perlu kreatif untuk menempatkan pengunjung.

4. Langkah pencegahan di kawasan pengudaraan tertutup
– Menambah baik sistem pengudaraan dengan membuka tingkap dan pintu, melaksanakan penjarakan fizikal dua meter serta memakai pelitup muka manakala warga emas tidak digalakkan mengunjungi rumah ibadat yang mempunyai sistem pengudaraan tertutup.

5. Mengawal interaksi pengunjung rumah ibadat
– Pengurusan rumah ibadat perlu sentiasa mengingatkan pengunjung supaya melakukan interaksi sosial di kawasan yang lebih selamat, terbuka, kurang sesak dan kurang padat selain tidak berkumpul sebelum atau selepas upacara keagamaan dijalankan.