Categories
AGENSI SELANGOR

Usahawan Hijrah perlu sahut cabaran teroka pasaran baharu

SHAH ALAM, 30 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) melaksanakan program Kompas Keusahawanan untuk meningkatkan produktiviti perniagaan usahawan di negeri ini.

Pengarah eksekutifnya berkata golongan tersebut perlu diberi latihan untuk meningkatkan potensi diri serta meneroka pasaran dan mencari idea perniagaan baharu.

“Kita tidak mahu tahap perniagaan usahawan yang mendapat pinjaman Hijrah berada statik, kita mahu ada peningkatan.

“Mereka perlu melangkah ke tahap baharu dan ini cabaran kepada Hijrah dan pihak yang menerima pinjaman,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor sempena Sambutan Ulang Tahun Hijrah keenam di Perbadanan Perpusatakaan Awam Selangor (PPAS) semalam.

Hijrah yang ditubuhkan enam tahun lalu bertujuan mengeluarkan modal mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi isu kekangan modal.

Ketika awal penubuhan Hijrah, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta.

Inisiatif membantu usahawan ditambah baik menerusi program Zero To Hero dengan melatih dan memantau peserta dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Pada 10 Februari lepas, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.