Categories
AGENDA NASIONAL

Asap ubat nyamuk risiko asma kronik, barah

SHAH ALAM, 4 APRIL: Penggunaan ubat nyamuk lingkaran selama tiga malam berturut-turut boleh meningkatkan risiko asma dan sesak nafas.

Kajian ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia turut mendapati kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun berisiko mendapat kahak kronik, lapor Harian Metro.

“Penggunaan berterusan pula boleh menjejaskan fungsi paru-paru obstruktif dan restriktif,” kata Profesor Dr Juliana Jalaludin.

Kajian membabitkan komuniti Hulu Langat, Selangor mengesan ada hubungan signifikan antara pendedahan asap ubat nyamuk berterusan dengan kerosakan DNA.

Antara bahan pencemar hasil proses pembakaran termasuk formaldehid, acrolein, partikel ultra-halus dan polisiklik aromatik hidrokarbon (PAH).

“Penemuan daripada kajian ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada asap ubat nyamuk lingkaran yang diuji dapat menimbulkan risiko kesihatan akut dan kronik yang ketara seperti asma, bronkitis dan barah dalam jangka masa panjang,” kata Dr Juliana.

Beliau menambah penilaian kadar pelepasan pencemar pembakaran ubat nyamuk jauh melebihi piawai kesihatan atau garis panduan kualiti udara yang ditetapkan.