Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor hospital kerajaan antara enam ditahan edar ganja

PETALING JAYA, 29 APRIL: Seorang doktor hospital kerajaan antara enam ditahan polis dipercayai terbabit pengedaran dadah di Taman Sri Manja di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata semua suspek lelaki berusia 26 hingga 30 tahun itu diberkas sekitar jam 10 malam.

Katanya, dalam serbuan berkenaan pihaknya menemui 11 paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 1.9 kilogram dengan nilai rampasan RM4,900.

“Hasil analisa rampasan dadah jenis ganja ini boleh dibekalkan kepada lebih 1,913 penagih. Turut dirampas wang tunai RM1,450 dan lima kenderaan dianggarkan bernilai RM139,500.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 5 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman mati atau penjara seumur hidup.