Categories
AGENDA JENAYAH

Dua lagi individu terbabit video promosi judi dalam talian ditahan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Polis menahan dua individu yang disyaki berperanan sebagai ‘pembayar upah’ kepada pelakon yang terbabit dalam dua video mempromosi iklan perjudian secara dalam talian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kedua-dua lelaki berumur 31 dan 34 tahun itu ditahan di Puchong dan Cheras dalam operasi bermula 12 tengah malam dan 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata kedua-dua individu itu bertindak sebagai pembayar upah kepada pelakon video dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat hari ini.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti produksi terbabit susulan kedua-dua video berkenaan dihasilkan oleh dua produksi berbeza,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya semalam telah menahan tiga individu termasuk dua wanita yang berperanan sebagai pelakon dan direman tiga hari hingga esok untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata siasatan mendapati tiga individu yang ditahan berperanan sebagai pelakon dan menerima bayaran RM200.

Setakat ini, polis menahan 25 individu termasuk penerbit, pelakon dan kru produksi bagi membantu siasatan pembikinan empat video mempromosikan judi dalam talian yang tular menerusi laman sosial sejak minggu lepas.

Mohamad Zainal berkata daripada jumlah itu, 12 individu masih direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.

– BERNAMA