Categories
ADN SELANGOR

Kelab rukun tetangga terima RM51,000, ubah tanah terbiar jadi kebun komuniti

PETALING JAYA, 13 APRIL: Kelab Rukun Tetangga (KRT) SS25 menerima peruntukan RM51,000 atas komitmen mengubah tanah terbiar menjadi kebun komuniti di Taman Maya di sini.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama berkata bantuan itu membolehkan kelab berkenaan mempelbagai projek tanaman di kebun berkeluasan 557.4 meter per segi selain meningkatkan aspek keselamatan dan sistem saliran air longkang.

“Kawasan ini dahulunya sebuah kabin persatuan penduduk namun sejak 2016 ia terbiar dan dipenuhi semak-samun. Dalam tempoh tujuh bulan bermula tahun lepas, mereka berjaya mengubahnya menjadi kebun komuniti.

“Selepas ini mereka akan meneruskan usaha dan menambah baik kebun tersebut dengan menjalankan projek dirancang,” kata Jamaliah Jamaluddin pada sidang media selepas melawat kebun komuniti KRT terbabit hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MBPJ Zon 7 Leong Chee Cheng, Pengerusi KRT SS25, Chan Chow Wang dan ketua kebun komuniti berkenaan Chan Swee Yeng.

Jamaliah berkata perkara berkaitan diharap memberi sumber inspirasi kepada persatuan penduduk dan KRT lain untuk mengambil pendekatan sama memandangkan Kerajaan Negeri sentiasa bersedia menyalur peruntukan.

“Selangor memiliki kawasan yang agak luas malah setiap perumahan ada budaya dan aktiviti tersendiri, justeru bantuan disediakan diyakini dapat menjelmakan persekitaran lebih baik dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, Swee Yeng berkata ketika ini antara tanaman diusahakan ialah betik, pisang, kai lan jepun dan salad serta merancang menjalankan projek hidrofonik, tanaman strawberi tanah rendah, cendawan juga padi.

KRT SS25 mendapat dana daripada beberapa pihak meliputi Kerajaan Selangor di bawah EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian, Geran Hijau Bandar Utama serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya menerusi Komuniti Sosial, Persekitaran, Ekonomi dan Pembangunan Petaling Jaya (PJ SEED).