Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kos makin tinggi, pesawah gesa jaminan harga padi dinaikkan RM1,300

SABAK BERNAM, 28 APRIL: Ribuan pesawah di Sekinchan berharap kerajaan persekutuan menaikkan jaminan harga padi kepada RM1,300 bagi satu tan berbanding RM1,200 sebelum ini.

Rojikin Sabini berkata permintaan itu berdasarkan situasi semasa petani yang berdepan kenaikan kos mengusahakan tanaman terbabit selain hasil yang diperoleh tidak lagi tinggi.

“Barang-barang input seperti baja, racun semakin mahal termasuklah kos menyelenggara yang kian meningkat kerana kita menggunakan tenaga manusia.

“Malah ada antara kami yang bukan pemilik tetapi menyewa dengan kadar RM4,000 semusim. Kalau musim berkenaan kami hanya memperoleh tujuh tan maka kami langsung tidak mendapat untung,” katanya.

Pesawah Rojikin Sabini ditemui pada protes aman bersama pesawah di Sekinchan pada 27 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas mengadakan protes aman terhadap lanjutan konsesi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersama 50 petani yang mewakili 1,000 pesawah di sekitar Sekinchan semalam.

Sementara itu, R Somasundaram berkata masalah penyakit menyebabkan hasil padi yang biasanya 10 tan semusim merosot sehingga tujuh tan.

Katanya, kemorosatan itu menyebabkan mereka mengalami kerugian kerana perlu mengeluarkan kos untuk membeli racun bagi mengatasi masalah serangan penyakit.

“Penyakit seperti BLB (hawar daun bakteria), bena perang… bila banyak penyakit kos merawat itu semakin tinggi. Harga racun pun terlalu mahal. Dulu lima, enam kali sahaja sembur racun sekarang 10 kali pun belum tentu selesai,” katanya.

Semalam, kira-kira 1,000 petani di sini turut meminta kerajaan persekutuan menaikkan skim subsidi padi kepada RM500 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi.