Categories
AGENSI SELANGOR

Lapan pelajar tajaan Yayasan Selangor terima komputer riba

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yayasan Selangor menyumbang komputer riba kepada lapan pelajar tajaannya yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah kanan pendidikannya berkata sumbangan menerusi program Laptop4U memudahkan pelajar terbabit mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian selain membantu melaksanakan tugasan.

“Kita kenal pasti mereka tidak memiliki komputer riba sehingga sukar untuk belajar. Peralatan ini diagih secara berperingkat dan mungkin akan dibuat lagi dengan lebih meluas,” kata Zahura Zakry.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Sementara itu, penerima K Kavilan, 22, berkata sumbangan tersebut amat bermakna kerana tidak perlu lagi berkongsi peranti dengan abangnya.

Menurut penuntut tahun dua ijazah sarjana muda hal ehwal antarabangsa, dia menghadapi kekangan mengikuti kuliah secara maya dan komputer riba itu akan dimanfaat sebaiknya.

“Terima kasih kepada Yayasan Selangor dan saya berjanji mendapatkan purata nilai mata tinggi dalam peperiksaan serta menjadi pelajar cemerlang,” kata anak bongsu dari tiga beradik.

Seorang lagi penerima, Nur Afikah Karim, 22, menghargai komitmen yayasan dan tidak pernah meminggirkan pelajar tajaannya yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan akses pendidikan dengan baik.

Pelajar semester tiga ijazah sarjana muda pentadbiran muamalat berkata sejak menyambung pengajian di institusi itu, dia menggunakan komputer riba abangnya yang dibeli enam tahun lalu.

“Keadaan itu menyebabkan emosi saya sering terganggu disebabkan komputer riba sering bermasalah sehingga menyukarkan proses pembelajaran,” katanya yang mendapat pembiayaan pendidikan Yayasan Selangor berjumlah RM28,000 bermula tahun lalu.