Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Masjid, surau Sungai Air Tawar dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 25 APRIL: Sebanyak 54 surau dan 15 masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri RM1,000 semalam.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata sumbangan berkenaan untuk membantu pengurusan rumah ibadat melaksanakan aktiviti sepanjang Ramadan.

“Semoga sumbangan ini memudahkan pengurusan rumah ibadat berkenaan untuk mengimarahkan masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan.

“Selain itu, kita turut mengagihkan beberapa kotak kurma,” katanya menerusi Facebook.

Pada majlis sama Izham turut menyampaikan Baucar Skim Mesra Usia Emas kepada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di DUN Sungai Air Tawar untuk diagihkan kepada penerima layak.

Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak memberi manfaat kepada penduduk DUN tersebut.