Categories
AGENSI SELANGOR

Operasi padam 11 kontena terbakar di perairan Pulau Carey masih berjalan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Operasi pemadaman 11 kontena barangan perindustrian yang terbakar di dalam sebuah kapal kargo, Interasia Catalyst di perairan Pulau Carey pada Rabu lepas masih giat dijalankan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata JBPM menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 5.38 petang bermula dengan lima kontena yang kemudiannya merebak ke 11 kontena hari ini.

“Pihak bomba telah berjaya membuka lapan kontena bagi memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 47 angota bomba dari balai bomba Port Klang, North Port, Westport, serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, dan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia digegaskan ke lokasi kira-kira 15 batu nautika di perairan Pulau Carey, bagi membantu pemadaman kebakaran.

“Setakat ini, lima kontena telah padam sepenuhnya, tiga kontena membawa Sodium Carbonate Peroxyhydrate sedang disejukkan manakala tiga kontena selebihnya dalam proses pemadaman,” kata Hafisham.

– BERNAMA