Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tumpas dua sindiket seludup, proses dadah lebih RM17 juta

SHAH ALAM, 26 APRIL: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah berjumlah RM17.55 juta dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata hasil serbuan itu, pihaknya menahan 17 individu yang merupakan ahli sindiket termasuk empat lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan berumur 24 hingga 47 tahun.

Acryl Sani berkata bagi sindiket pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan JSJN Selangor melancarkan tujuh serbuan di lokasi berbeza di sekitar Kajang dan Pandamaran serta merampas 354 slab atau ketulan heroin base seberat 134 kilogram (kg) dan 101 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu seberat 104 kg bernilai RM15.2 juta.

“Sindiket yang mula menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Februari tahun ini menyeludup masuk bekalan dadah ke Malaysia dari selatan Thailand menggunakan jeti haram di Kelantan.

“Mereka juga menggunakan perkhidmatan penghantaran kontena dan bungkusan melalui jalan laut serta udara bagi menyeludup dadah ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata seorang daripada suspek didapati positif ketamin dan mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 170 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).

Bagi sindiket kedua, Acryl Sani berkata pihaknya telah melancarkan tiga serbuan dan berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah ketamin di sekitar Rawang pada Selasa lepas.

Katanya, hasil ketiga-tiga serbuan tersebut pihaknya merampas 22.015 kg dadah dan 37.15 kg cecair disyaki jenis ketamin dianggarkan bernilai RM2.35 juta.

“Turut dirampas adalah peralatan dan bahan-bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah ketamin.

“Empat daripada lapan suspek yang ditahan dalam sindiket ini didapati positif dadah jenis ketamin manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Acryl Sani berkata tindakan menyita dilakukan pihaknya dengan nilai keseluruhan sitaan bagi kedua-dua operasi adalah lebih RM1 juta antaranya melibatkan 10 buah kereta, empat motosikal dan wang tunai berjumlah RM136,110.

Kesemua suspek juga kini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya dan direman satu hingga tujuh hari bermula Rabu.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata sepanjang Januari hingga April tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan 92 sindiket dadah melibatkan 12 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM747 juta.

“Berbanding sepanjang tahun lepas, 305 sindiket dadah ditahan melibatkan rampasan dadah berjumlah 14 tan bernilai RM405 juta,” katanya.

-BERNAMA