Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek kebun komuniti makin popular di Bandar Utama sejak PKP

PETALING JAYA, 14 APRIL: Projek kebun komuniti kian popular dalam kalangan penduduk sekitar Bandar Utama sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa tahun lalu.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 10 projek kebun dalam bandar dikenal pasti setakat ini, kebanyakan diusahakan penduduk warga emas.

“Menariknya, salah satu tempat yang saya lawati sebelum ini wakil di setiap kawasan perumahan menanam pokok bunga seolah-olah di Cameron Highland,” katanya.

Beliau yang ditemui di salah sebuah kebun komuniti di sini semalam turut menggalakkan persatuan penduduk atau Kelab Rukun Tetangga (KRT) membuat inisiatif sama.

Jamaliah berkata langkah itu bagi mengelakkan kawasan tanah lapang dipenuhi semak samun yang akhirnya menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan berbisa.

“Kita galak penduduk buat aktiviti ini kerana ia bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran ceria tetapi menyelesaikan isu pembiakan Aedes dan haiwan berbisa,” katanya lagi.

Beliau menambah pihaknya juga sedang menguruskan kerja pembersihan tanah terbiar sekitar Bandar Utama untuk dijadikan kebun komuniti.

Semalam, KRT SS25 di Taman Maya menerima peruntukan sebanyak RM51,000 atas komitmen mengubah tanah terbiar menjadi kebun komuniti seluas 557.4 meter persegi.