Categories
SELANGOR

Selangor cakna OKU, terus hulur pelbagai bantuan

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Selangor akan terus cakna dan prihatin terhadap golongan istimewa di negeri ini dengan mewujudkan pelbagai bantuan.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan merangkumi peringkat keluarga, pendidikan dan masyarakat bertujuan menyedarkan orang awam kepentingan menolong orang kelainan upaya (OKU).

“Menerusi inisiatif Anak Istimewa Selangor (AnIS), kita menawarkan program Didik AnIS, Cikgu AnIS, Akademi AnIS serta Bantuan Khas AnIS,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut hari ini.

Menurutnya, menerusi sambutan saban tahun, ia membuka peluang kepada masyarakat memahami perspektif dunia dari kaca mata golongan istimewa terbabit.

“Memahami adalah langkah penting sebelum kita membantu,” katanya.

Dalam Belanjawan Selangor 2021 Kerajaan Negeri meluluskan sejumlah RM3.25 juta menjayakan program dan inisiatif pemberdayaan OKU termasuk seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.