Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Permaisuri cemar duli baca berita sempena ulang tahun RTM

SHAH ALAM, 1 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli membaca berita perdana sempena ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75.

Tengku Permaisuri Norashikin tampil kira-kira 15 minit dalam slot khas pada jam 8 malam yang menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara, lapor Astro Awani.

Sementara itu, Penerbit Berita Perdana Khas Khairul Azli Rahim berbesar hati dan teruja atas kesudian Baginda menyampaikan berita yang disunting olehnya.

“Ini kemunculan kali pertama Baginda di kaca televisyen selepas ditabalkan menjadikan Permaisuri Selangor selepas lima tahun lalu.

“Saya mewakili pihak produksi dan kru penerbitan berita RTM mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian baginda meluangkan masa untuk menyampaikan berita kami hari ini,” katanya.

Tatarias wajah dan busana Tengku Permaisuri Norashikin disediakan oleh Unit Imej dan Solek RTM.

Baginda yang pernah berkhidmat bersama RTM dinobatkan sebagai Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada 2005.