Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

166 cedera, 47 parah insiden tren LRT bertembung

SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai 166 penumpang cedera dan 47 lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua tren LRT laluan Kelana Jaya, berhampiran stesen Kampung Baru malam ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menerusi siaran langsung Facebook.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap pada sidang media mengenai tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

“Kita menerima laporan pada jam 8.45 malam mengenai insiden tren LRT bertembung antara laluan KLCC ke Kelana Jaya dan juga Kelana Jaya ke Gombak.

“Tren menghala dari Gombak ke Kelana Jaya membawa 213 penumpang di mana 166 cedera ringan dan 47 cedera parah,” katanya yang turut memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Katanya, salah satu tren  yang tidak membawa penumpang mengalami kerosakan dan dipandu secara automatik ketika kejadian.

“Mungkin berlaku ‘miss communication’ di pusat kawalan yang menyebabkan berlaku kejadian ini dan kita akan siasat,” katanya.

Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan trennya bernombor 40 dan 81 terlibat dalam satu insiden dan pasukannya sedang menguruskan bantuan dan kerja menyelamat.

“Sila bertenang dan patuhi segala arahan. Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” menurut kenyataan itu.