Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Bursa Malaysia memulakan urus niaga minggu yang singkat ini tinggi sedikit dalam persekitaran sentimen pasaran yang bercampur-campur menjelang pengumuman prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara untuk suku pertama 2021 dan cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.23 mata kepada 1,587.68 daripada 1,587.45 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lepas.

Indeks utama dibuka 0.03 mata tinggi pada 1,587.48.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2021 pada Selasa.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 267 berbalas 163 sementara 304 kaunter tidak berubah, 1,436 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 289.98 juta bernilai RM156.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen di pasaran mungkin akan terus berhati-hati sepanjang minggu urus niaga yang singkat ini sambil memberi fokus kepada kadar pertumbuhan KDNK suku pertama 2021 yang diunjurkan masih lemah berikutan persekitaran yang terjejas oleh Covid-19.

“Namun begitu, peniaga akan lebih memberi fokus kepada komoditi yang meningkat seperti minyak sawit mentah (MSM), yang melonjak lebih daripada 5.0 peratus minggu lepas serta harga minyak Brent yang naik sedikit pada ketika ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan indeks utama akan bergerak dalam julat kecil dengan paras sokongan antara 1,555 dan 1,565, sementara halangan pada 1,600 dan 1,620.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, Malacca Securities berkata sektor perladangan; minyak dan gas mungkin menarik minat peniaga di tengah-tengah peningkatan harga MSM dan minyak Brent.

Selain itu, di bawah perintah kawalan pergerakan 3.0, permintaan yang kukuh untuk saham pembungkusan dan berkaitan media dijangkakan di tengah-tengah mod penghuni perlu diam di rumah.

“Sektor teknologi juga mungkin menyaksikan beberapan lantunan teknikal selepas Nasdaq mencatatkan keuntungan dalam urus niaga semalaman,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut satu sen kepada RM8.23, RM4.09 dan RM8.29.

Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing menambah satu sen kepada RM9.91 dan RM5.67, sementara saham sarung tangan getah – Hartalega, Top Glove dan Supermax – meningkat kerana kes Covid-19 di negara ini terus melambung tinggi.

Bagi kaunter aktif, Tanco tidak berubah pada 11 sen, Focus Dynamics dan LKL masing-masing naik setengah sen kepada 10 sen dan 37 sen sementara KTG menambah satu sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.53 mata kepada 11,666.15, Indeks FBMT 100 menokok 4.69 mata kepada 11,319.07, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 29.6 mata kepada 13,107.43, FBM ACE naik 70.45 mata kepada 8,396.98, dan FBM 70 memperoleh 18.07 mata kepada 15,277.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.85 mata kepada 14,782.77, Indeks Perladangan 44.72 mata lebih kukuh pada 7,142.21 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.27 mata kepada 200.81.

– BERNAMA