Categories
AGENDA NASIONAL

Empat lagi rakyat Malaysia dijangkiti virus di Singapura

SINGAPURA, 15 MEI: Sebanyak 52 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat turut membabitkan empat rakyat Malaysia, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut KKM semua kes itu berkaitan dengan kluster Kes 62873, seorang pekerja pencuci di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, berusia 88 tahun, disahkan dijangkiti virus itu pada 5 Mei.

Satu daripada rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kluster itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 10 Mei, kata kementerian lewat malam tadi.

“Dia tidak bergejala dan dikesan ketika menjalani ujian saringan pada 12 Mei semasa kuarantin. Pada 13 Mei hasil ujiannya sekali lagi positif. Keputusan ujian serologinya masih belum keluar,” kata KKM.

Kluster kes 62873 ialah yang terbesar di antara 12 kluster dengan 59 kes setakat ini.

Tengah hari semalam, Singapura melaporkan 24 kes tempatan dan 28 import.

Singapura yang mencatatkan keseluruhan kes sebanyak 61,505 akan memperketat langkah-langkah pengurusan keselamatan dalam masyarakat mulai 16 Mei.

-BERNAMA