Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Khidmat nyahkuman percuma buat warga Taman Templer

GOMBAK, 22 MEI: Penduduk sekitar Taman Templer yang memerlukan khidmat nyahkuman di kediaman masing-masing boleh memohon kepada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Wakil rakyatnya berkata tawaran percuma bagi mencegah penularan Covid-19 juga boleh dibuat melalui ahli majlis, ketua kampung, pengerusi badan pengurusan bersama dan kawasan rukun tetangga.

“Kita terima jika ada permintaan daripada masyarakat supaya rumah mereka dinyahkuman khususnya dalam kalangan ahli keluarga yang terkena jangkitan Covid-19.

“Dua pasukan petugas akan dikerah segera untuk melakukan kerja berkaitan,” kata Mohd Sany Hamzan menambah tumpuan turut diberikan kepada premis niaga, rumah ibadat dan dewan orang ramai.

Beliau yang ditemui selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua kelmarin turut menggesa masyarakat meningkatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Mohd Sany berkata angka maut akibat Covid-19 yang mencecah jutaan orang di seluruh dunia perlu dijadikan iktibar berikutan virus itu boleh mengancam nyawa sesiapa sahaja.

“Memang kita lihat pematuhan SOP semakin baik namun kita tidak boleh selesa sebaliknya perlu peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Selebihnya kita hanya mampu berdoa supaya wabak ini cepat dihantar pulang ke tempat asal dan kita sebagai hamba bebas melakukan kegiatan yang dilakukan selama ini,” katanya lagi.