Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tambah 30 peratus saringan di lapangan dalam seminggu

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) terus menjalankan lebih banyak ujian di lapangan sebagai antara langkah tindakan kesiapsiagaan kementerian itu berdepan penularan Covid-19 dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan Covid-19 menunjukkan pertambahan yang mendadak iaitu 30.2 peratus dengan purata ujian Tindak Balas Rantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag)) harian sebanyak 63,925 ujian sebelum 14 Mei berbanding 91,608 ujian bagi tempoh 23 hingga 29 Mei.

“Penggunaan RTK-Ag sebagai ujian saringan Covid-19 membantu mengesan wabak itu dengan cepat dalam jumlah yang besar selain penyumberluaran ujian saringan Covid-19 ke makmal swasta,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 hari ini.

Beliau berkata jumlah katil di hospital Covid-19 dan hospital hibrid Covid-19 turut ditingkatkan dengan mengenal pasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menyediakan peralatan perubatan serta kelengkapan lain yang diperlukan.

Menurutnya Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia juga adalah antara langkah bagi meningkatkan kapasiti ICU selain bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dr Noor Hisham berkata sehingga semalam, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) menggunakan 65 peratus daripada 27,183 katil dan hospital Covid-19 pula 85 peratus daripada 10,190 katil manakala penggunaan katil ICU ialah 88 peratus daripada 1,698 katil, katil ICU untuk Covid-19 ialah 104 peratus daripada 1,113 katil dan bagi ventilator, 60 peratus penggunaan keseluruhan dengan 39 peratus untuk pesakit Covid-19 daripada 2,138.

Selain itu, beliau berkata KKM meningkatkan sumber manusia bagi kegunaan di semua fasiliti terbabit.

Menurut Dr Noor Hisham, sumber tenaga manusia merupakan antara cabaran utama dan ramai anggota telah dimobilisasi untuk menjalankan fungsi-fungsi lain dalam pengurusan pandemik itu.

“Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telahpun dimobilisasi untuk perawatan pesakit Covid-19,” katanya.

-BERNAMA