Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pengangkutan percuma bawa pulang 352 mahasiswa Selangor

SHAH ALAM, 8 MEI: Kerajaan Negeri menyediakan pengangkutan secara percuma untuk membawa pulang 352 mahasiswa Selangor dari enam universiti seluruh Semenanjung sempena Aidilfitri.

Inisiatif Kerajaan Negeri meliputi pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Cawangan Parit Raja, Johor Darul Takzim dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Cawangan Pagoh.

Turut terlibat Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Kelantan.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu selaras keputusan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April yang membenarkan pelajar pulang ke rumah kecuali Sarawak.

“Proses penghantaran ini dijalankan dengan kawalan ketat tatacara operasi piawai (SOP) untuk memastikan kesihatan pelajar terjaga melalui pematuhan protokol kesihatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.

Beliau berkata pelajar dari zon utara tiba di pejabat SUK Selangor hari ini manakala zon pantai timur pada Ahad dan disambut oleh ibu bapa untuk pulang ke rumah.

“Semoga inisiatif ini meringankan beban ibu bapa di Selangor yang mengalami tekanan kewangan berikutan penularan wabak Covid-19 masih tinggi serta kesan ekonomi menyusul,” kata Amirudin.

Kira-kira 70,000 daripada 162,414 pelajar institusi pengajian tinggi yang tinggal di kampus pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai semalam.

Mereka adalah pelajar universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti.