Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia antara 25 kes baharu Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 24 MEI: Seorang lelaki Malaysia berusia 46 tahun penghuni asrama di Harvest @ Woodlands antara 25 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) republik itu.

Dirujuk sebagai Kes 63622, pekerja pembinaan di H&W Communications Pte Ltd berkenaan tidak menunjukkan gejala.

“Beliau menjalani saringan Rostered Routine Testing (RRT) pada 22 Mei dan disahkan positif pada hari yang sama dan segera diasingkan,” kata kementerian malam tadi.

Kes terakhir dilaporkan di asrama itu ialah pada 1 Mei.

Tiga lagi kes baharu yang dilaporkan pada Ahad juga melibatkan warga Malaysia. Satu kes import dan dua lagi dikaitkan dengan dua kluster terbuka iaitu JEM/Westgate dan penghantar makanan McDonald.

Warga Malaysia yang dikaitkan dengan kluster JEM/Westgate didapati positif varian B.1.617 menerusi saringan awal dan sedang menunggu ujian pengesahan selanjutnya.

Dirujuk sebagai Kes 63597, wanita berusia 39 tahun itu bekerja sebagai tukang cuci di Eng Leng Contractors Pte Ltd di pusat beli-belah Westgate, menurut kementerian.

Setakat Ahad, republik ini mencatatkan 61,824 kes Covid-19 dengan 2,743 penularan tempatan, 4,562 kes import, dan 54,519 babitkan penghuni asrama.

Singapura mempunyai 32 kluster terbuka setakat ini dengan yang terbesar melibatkan kluster Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 108 kes.

– BERNAMA