Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor cadang jadikan klinik kesihatan pusat beri vaksin

SHAH ALAM, 24 MEI: Selangor akan menggunakan klinik kesihatan sedia ada di negeri itu sebagai tempat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 khusus kepada pesakit yang mempunyai penyakit kronik, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

“Kita telah mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan mereka amat menyokong syor itu dan saya akan mendapatkan kebenaran tersebut secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini, bagi hari pertama pemberian vaksin Covid-19 Astrazeneca.

Selain itu, beliau berkata jabatan tersebut juga akan melaksanakan program imunisasi untuk pesakit terlantar melalui ‘program outreach’.

Mengenai program imunisasi menggunakan vaksin Astrazeneca itu, beliau berkata sebanyak 42,000 dos akan diberikan di IDCC dengan jangkaan pemberian sebanyak 3,000 dos sehari bermula hari ini hingga 6 Jun.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai agar tidak mencuba nasib dengan ‘walk-in’ atau menunggu di mana-mana PPV untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengelakkan kesesakan di pusat tersebut.

“Kita telah ada senarai menunggu, jadi tidak perlu mereka untuk mencuba nasib datang ke PPV dan kita tidak pernah memberi vaksin ini kepada mereka yang walk-in,” katanya.

-BERNAMA