Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor disaran ambil iktibar kelemahan sistem daftar vaksin

SHAH ALAM, 27 MEI: Selangor wajar mengambil iktibar kelemahan sistem tempahan vaksin AstraZeneca bagi memastikan program suntikan pelalian negeri ini berjalan lancar.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi berkata isu gangguan teknikal ketika proses pendaftaran perlu diatasi kerana dikhuatiri mencetuskan kemarahan rakyat.

“Sekiranya tidak boleh daftar, ia satu perkara yang dikesali dan menyusahkan rakyat. Selangor harus jadikan apa yang berlaku (semalam) sebagai contoh supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.

“Apabila mahu buat program (suntikan vaksin) nanti, semua faktor perlu diambil kira seperti pendaftaran dan pelaksanaan. Jangan kita buat sesuatu program yang tidak memuaskan,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 di sini.

Kenyataan itu merujuk kesukaran pengguna mengakses beberapa butang ciri laman sesawang Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sewaktu tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca semalam.

Sebanyak 956,609 tempahan dos vaksin jenis itu bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas dipenuhi dalam tempoh kira-kira sejam.

Sementara itu, Najwan mencadangkan Kerajaan Negeri membuat program suntikan vaksin secara besar-besaran seperti Saringan Komuniti yang dijalankan ketika ini.

“Kalau kita boleh buat saringan menyeluruh, jadi tiada sebab untuk Selangor tidak menerajui negeri lain buat program suntikan vaksin besar-besaran.

“Kita berdepan pandemik agak lama, yang penting semua pihak baik masyarakat atau kerajaan perlu teruskan ikhtiar membantu mengekangnya. Kawalan kendiri itu penting, jika tiada keperluan keluar sila duduk rumah,” katanya lagi.

Selangor membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 yang dijangka diagihkan kepada orang ramai mulai Jun.