Categories
AGENDA NASIONAL

Video tular orang ramai akan huni Stadium Malawati tidak benar

SHAH ALAM, 15 MEI: Video tular di media sosial berdurasi seminit yang menunjukkan orang ramai beratur untuk masuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati di sini yang dikatakan akan menghuni pusat itu buat sementara waktu, adalah tidak benar.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Dr Faridah Amin berkata pihak yang menularkan klip video itu telah salah faham, kerana stadium itu hanya dijadikan tempat penilaian Covid-19 sahaja, bukan untuk menempatkan pesakit.

“Kes positif datang untuk penilaian, selepas itu disambung dengan pengawasan di rumah, kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), ataupun kemasukan hospital; mengikut keadaan semasa pesakit ketika di bawah penilaian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Stadium Malawati telah beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling sejak 8 Februari lepas dengan kapasiti seramai 1,000 sehingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

Ia menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15 berikutan kapasitinya yang boleh menampung lebih ramai pesakit Covid-19; dan selain Stadium Malawati, CAC turut beroperasi di lapan daerah lain yakni di Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

– BERNAMA