Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 keluarga jalani kuarantin di rumah terima bantuan makanan

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Hampir 100 individu termasuk keluarga yang menjalani kuarantin di rumah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima bantuan makanan asas sejak awal tahun ini.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata pek bernilai RM80 mengandungi beras, tepung gandum, gula, susu, sardin dan mi segera sebagai inisiatif meringankan beban golongan terjejas.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan golongan ini cukup bekalan makanan kerana mereka tidak dibenarkan keluar rumah membeli barang keperluan sepanjang tempoh kuarantin bagi membendung penularan wabak.

“Edaran dibuat oleh pegawai pusat khidmat masyarakat dengan bantuan ketua kampung. Barang keperluan diletakkan di luar rumah keluarga terbabit bagi mengelak kontak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.

Sementara itu, Rozana berkata bantuan sama terhadap keluarga berpendapatan rendah (B40) yang terkesan susulan pandemik berjalan seperti biasa.

“Kita juga minta kerjasama ketua kampung untuk menyalurkan segera maklumat sekiranya ada keluarga yang memerlukan bantuan. Kita tidak mahu lihat keluarga susah ini berlapar disebabkan ketiadaan bekalan makanan,” katanya lagi.