Categories
AGENDA NASIONAL

13 individu antara 107 kematian Covid-19 tiada penyakit kronik

SHAH ALAM, 29 JUN: Seramai 13 individu daripada 107 kes kematian pada hari ini akibat jangkitan Covid-19 tiada penyakit kronik.

Ketua pengarah kesihatan hanya merujuk mereka dengan tanda sengkang (-) pada bahagian latar belakang penyakit senarai kes kematian.

Dalam kenyataan hari ini, rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan kes melibatkan tiga wanita dan 10 lelaki termasuk tiga warga asing.

Mengikut lampiran tersebut, tujuh kematian membabitkan warga emas berusia antara 64 hingga 87 tahun manakala selebihnya antara 42 hingga 58 tahun.

Sebanyak 107 kes kematian dicatatkan iaitu 43 di Selangor, Negeri Sembilan (16), Kuala Lumpur (11), Kedah dan Melaka masing-masing tujuh dan Johor (enam).

Sabah, Kelantan dan Labuan masing-masing merekod empat kematian, dua di Sarawak dan Pahang sementara satu di Terengganu.

Majoriti mangsa mempunyai latar belakang penyakit antaranya jantung, kencing manis, darah tinggi, obesiti, asma dan kanser.