Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

16 mukim di Selangor tiada kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 27 JUN: Tiada kes positif Covid-19 dikesan di 16 mukim membabitkan lima daerah negeri ini hari ini.

Mengikut perkongsian data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Facebook, sifar jangkitan itu melibatkan mukim Batu di daerah Kuala Langat dan Hulu Semenyih (Hulu Langat).

Dua mukim di daerah Sabak Bernam pula masing-masing Sabak dan Sungai Panjang manakala Hulu Bernam, Buluh Telur, Kerling, Pertak, Sungai Gumut, Sungai Tinggi serta Kuala Kalumpang (Hulu Selangor).

Angka sama turut direkodkan di daerah Kuala Selangor membabitkan mukim Kuala Selangor, Pasangan, Api-Api, Hulu Tinggi dan Ujong Permatang.

Sebanyak 2,212 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Selangor, satu daripadanya kes import yang mendapat jangkitan dari Indonesia, menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini 241,627.

Bilangan pesakit sembuh pula sebanyak 1,777 kes dengan keseluruhan pulih 236,060.

Sementara itu, ketua pengarah kesihatan memaklumkan lima kluster baharu dikenal pasti, empat daripadanya membabitkan tempat kerja dan selebihnya kluster komuniti.

Perincian kluster dimaklumkan Tan Sri Dr Noor Hisham menerusi kenyataan seperti berikut:

1. Kluster Industri Rawang Bestari – Kluster di Gombak dan Hulu Selangor (135 disaring, 57 positif)

2. Kluster Industri Kampung Sungai Bakau – Kluster di Gombak (190 disaring, 134 positif)

3. Kluster Tapak Bina Jade – Kluster di Hulu Langat (208 disaring, 42 positif)

4. Kluster Industri Jalan Sungai Tua – Kluster di Hulu Selangor (137 disaring, 122 positif)

5. Kluster Murni Sepang – Kluster di Sepang (220 disaring, 100 positif)