Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

196 disyaki positif Covid-19 hasil saringan lima DUN minggu lalu

SHAH ALAM, 25 JUN: Seramai 196 individu disyaki positif Covid-19 pada Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah itu merangkumi 73 peserta di DUN Seri Setia dan Taman Medan yang diadakan pada Sabtu, manakala 123 individu lagi di DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer pada Ahad.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan seramai 2,702 membuat saringan meliputi 1,267 individu bagi program di Petaling Jaya dan 1,435 lagi di saringan yang diadakan di Batu Caves,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai jumlah peserta yang dilihat menurun pada fasa tiga, beliau berkata ramai membuat saringan pada fasa dua dan kini tumpuan masyarakat adalah untuk mendapatkan vaksin.

“Masyarakat sekarang mungkin lebih tertumpu untuk mendapatkan vaksin dan sudah membuat saringan pada fasa dua, dan sekarang hanya mengambil pendekatan untuk ‘self lockdown’ di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Program Saringan Komuniti fasa tiga diteruskan lagi pada minggu ini bagi DUN Kajang pada esok, Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada Ahad mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari http://screening.selangkah.my/login.