Categories
AGENDA NASIONAL

AMK cadang 16 tahun usia minimum ahli, tertakluk kelulusan ROS

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir mencadangkan agar had umur keahlian untuk menyertai sayap itu diturunkan kepada 16 tahun berbanding 18 tahun pada masa ini.

Ketika menggulung sesi perbahasan Kongres Nasional AMK 2020 hari ini, beliau berkata langkah tersebut penting kerana pandangan ktitikal anak muda perlu diberikan tumpuan supaya dapat menjadi sebahagian suara yang membentuk pentadbiran negara.

“Saya berharap Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dapat mengangkat suara kita. Saya perkara ini pasti ada cabarannya, tetapi suara anak muda perlu diambil kira dan diberi tumpuan,” katanya.

Akmal berkata golongan belia kini tertakluk kepada peraturan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menyertai sesuatu pertubuhan iaitu mereka mesti berusia 18 tahun ke atas.

Justeru beliau berharap menteri dalam negeri boleh mempertimbangkan perkara tersebut supaya tiada sekatan ke atas suara anak muda dalam menyuarakan pandangan mereka.

Terdahulu, kongres sayap itu menyaksikan 14 perwakilan membahaskan usul dan ucapan dasar ketua AMK berkaitan soal kesihatan dan vaksinasi; kepimpinan, politik dan darurat; ekonomi anak muda serta pendidikan.

Pada sesi berkenaan perwakilan turut sebulat suara meluluskan tujuh usul yang akan dibawa ke Kongres Nasional PKR 2020 esok merangkumi lebih ramai calon AMK diketengahkan pada PRU akan datang, mendesak Parlimen dibuka semula serta ekonomi anak muda.

Turut diluluskan ialah usul menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, isu kekurangan dana program untuk rakyat, undi 18 dan usul memastikan kesepakatan PH.

Kongres Nasional AMK 2020 yang bertemakan “Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi” itu berlangsung secara maya dengan kehadiran seramai 783 perwakilan.

– BERNAMA