Categories
AGENDA NASIONAL

Dekati warga emas, golongan ‘atas pagar’ untuk yakinkan vaksin selamat

SHAH ALAM, 17 JUN: Seorang pengamal perubatan mencadangkan kerajaan mengubah pendekatan bagi memujuk warga emas dan golongan ‘atas pagar’ yang ragu-ragu untuk mengambil vaksin Covid-19.

EXCO perancangan strategik kempen vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia berkata kaedah memberi penerangan di khalayak ramai dilihat kurang berkesan mengubah persepsi mereka kerana ia tidak menjawab persoalan khusus.

“Pendekatan secara menyeluruh ini tidak lagi sesuai dan lebih baik sekiranya kita masuk ke keluarga dan kumpulan kecil membabitkan golongan atas pagar itu.

“Kita jawab persoalan dan kebimbangan mereka dengan menjelaskan sebaik-baiknya bahawa vaksin selamat diambil,” kata Dr Megat Mohamad Amirul Amzar.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Vaksinasi: Warga emas selamat?’yang disiarkan secara langsung di Facebook Yayasan Warisan Anak Selangor semalam.

Forum turut menampilkan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli sebagai panel manakala penyampai berita TV3, Mior Abdul Malek Raiyani sebagai moderator.

Dr Megat Mohamad berkata masyarakat harus diyakinkan bahawa vaksin selamat digunakan supaya lebih ramai mendaftar bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.

Jelasnya, vaksin digunakan di negara sudah melalui proses kajian rapi dan dapat mengurangkan kesan jangkitan termasuk risiko kematian.