Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Selangor dapat empat juta dos vaksin pada Julai

SHAH ALAM, 29 JUN: Selangor bakal menerima 4,008,710 dos vaksin mulai bulan depan, bekalan tertinggi diperoleh berbanding negeri-negeri lain.

EXCO kesihatan awam berkata makluman mengenai jumlah itu diperoleh selepas beliau menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pagi tadi.

“Alhamdulillah, saya menghadiri mesyuarat CITF pusat pagi ini, Selangor akan dapat 4,008,710 dos vaksin untuk bulan Julai. Bekalan yang tertinggi.

“Terima kasih YB Menteri (Khairy Jamaluddin),” kata Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Twitter.

Beliau turut berkongsi data pemberian jumlah vaksin yang akan diterima negeri lain seperti Sarawak sebanyak 2,389,582 dos, Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing 1,614,421 dos.

Johor pula mendapat 950,618 dos, Negeri Sembilan (743,054), Sabah (675,032), Perak (688,126), Pulau Pinang (591,532), Kedah (519,868) dan Kelantan (427,187).

Sementara Pahang menerima 434,385 dos, Terengganu (397,898), Melaka (364,829), Labuan (153,304) dan Perlis (100,254).

Semalam, Dr Siti Mariah berkata Selangor tidak berdepan masalah kapasiti atau bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) sebaliknya kekurangan bekalan.

Kerajaan Negeri mempergiat usaha memberi vaksin kepada pekerja industri dan swasta melalui Program Vaksinasi Covid-19 Selangor dengan membangunkan beberapa PPV.

Antara lokasi terlibat ialah Evo Mall, Bangi; Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Kompleks PKNS, Kelana Jaya; Hotel De Palma, Shah Alam dan Aurora Mall, Bukit Jalil.

Foto Twitter Dr Siti Mariah