Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Giat promosi Saringan Komuniti fasa tiga, capai sasaran 100,000 individu

SHAH ALAM, 14 JUN: Semua pihak perlu giat mempromosi Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga secara percuma yang dijangka bermula pada Sabtu, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata antara lokasi tumpuan untuk menguarkan program anjuran Kerajaan Negeri adalah penduduk penempatan bertingkat seperti pangsapuri.

“Promosi saringan dilaksanakan menerusi kaedah siar raya di penempatan bertingkat, kita mahu mereka  tahu tarikh program saringan.

“Lebih ramai dijangka menyertai saringan fasa ketiga, jadi kita perlu tambah baik pusat saringan dengan menyediakan laluan khas bagi memastikan program berjalan lancar,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Selain itu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menyediakan kemudahan pengangkutan terutamanya untuk membawa warga emas ke pusat saringan.

Penyelarasnya Abdul Rahim Kasdi berkata fokus diberikan kepada golongan berisiko tinggi di Kampung Changkat, Kerdas, Sungai Chinchin, Simpang Tiga dan sekitar Gombak Utara berikutan peningkatan kes di kawasan itu.

“Pejabat DUN mengambil inisiatif membantu warga emas yang mungkin ada kekangan untuk hadir saringan, jadi kita cuba bantu untuk memudahkan mereka,” katanya.

Semalam Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga dijangka bermula 19 Jun.

Pada Rabu Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM10.7 juta bagi meneruskan Program Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga melibatkan kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, saringan secara percuma menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.