Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 100,000 individu sertai saringan percuma di 52 DUN

SABAK BERNAM, 9 JUN: Seramai 95,561 individu menyertai Saringan Komuniti bagi mengesan jangkitan Covid-19 di 52 Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata daripada jumlah itu, seramai 92,231 atau 96.52 peratus didapati bebas jangkitan manakala 3,330 atau 3.48 peratus diuji positif.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada Media Selangor ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) paling banyak diambil adalah daripada golongan produktif berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun kerana mereka sedar keperluan membuat saringan bagi mengelak jangkitan.

“Bilangan kanak-kanak disaring pula agak perlahan sejak kebelakangan ini. Ia mungkin atas faktor kebimbangan ibu bapa membawa anak mereka ke tempat berisiko selaras perintah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Stadium Sungai Besar hari ini yang menyasarkan penduduk sekitar DUN Sungai Panjang.

Program dari 9 pagi hingga 4 petang dijalankan serentak di Dewan Tun Razak yang memanfaatkan masyarakat di DUN Sabak.

Sementara itu, Mohd Noor berkata lebih 500 individu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk mendapatkan khidmat percuma di kedua-dua lokasi terbabit.

“Jumlah ini mungkin rendah kerana kawasan luar bandar, malah kebanyakan yang hadir hari ini adalah warga emas kerana golongan ini sudah pencen dan memilih untuk tinggal di kampung,” katanya.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga esok.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.