Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Individu mahu berniaga ketika PKP digalak mohon lesen sementara PBT

SHAH ALAM, 29 JUN: Individu terjejas Covid-19 dan bercadang memulakan perniagaan kecil-kecilan digalakkan memohon lesen sementara dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO kerajaan tempatan berkata langkah itu akan memudahkan urusan perniagaan selain memastikan peniaga beroperasi di kawasan selamat serta tidak mengganggu lalu lintas.

“Kita jangka jumlah penjaja meningkat susulan PKP 3.0 dilanjutkan. Pandemik ini menyebabkan kehidupan makin terdesak dan masyarakat akan memilih bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita galakkan mereka pohon lesen sementara. Kerajaan Selangor sedia membantu penduduk bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini hari ini.

Pada Mac, Dato’ Menteri Besar menyarankan PBT memudahkan permohonan lesen perniagaan sementara untuk membantu golongan terjejas susulan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agensi itu juga perlu menyediakan beberapa kawasan khusus untuk peniaga kecil dan jualan but kereta.