Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kempen e-Bazar Raya Selangor kutip RM954 juta kesan ekonomi

SHAH ALAM, 23 JUN: Kempen e-Bazar Raya Selangor pada 15 April lalu mencatatkan RM954 juta kesan ekonomi kepada negeri, termasuk jualan terus bernilai RM65 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata kempen sehingga 29 Mei mengatasi sasaran asal sebanyak RM700 juta, selain menarik 134,025 peniaga dengan 22,049 penyertaan baharu.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 76 peratus dari sasaran awal iaitu seramai 12,500 penjual sekali gus  menunjukkan lebih ramai peniaga e-dagang telah mendapat manfaat melalui kempen ini.

“Hasil terkini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 163 peratus untuk jualan terus dan 139 peratus peningkatan kesan riak kepada ekonomi Selangor berbanding sasaran awal,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media secara maya hari ini.

Turut serta EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron, Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Ashaaree.

Sementara itu, Amirudin berkata kejayaan kempen tersebut membuktikan peniaga masih mampu menjana pulangan lumayan di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata peralihan kepada pendigitalan juga membantu memenuhi keperluan pengguna ketika menyambut perayaan Aidilfitri.

Kempen e-Bazar Raya Selangor diselaraskan Invest Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melalui platform Shopee dan Lazada.