Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan, pembangkang gesa Parlimen, dewan negeri bersidang segera

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) dan pembangkang menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen dan Dewan Negeri Selangor (DNS) dibuka segera.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, gabungan itu berkata pembukaan itu bagi menjadi semak dan imbang pentadbiran kerajaan selain menyambut baik kenyataan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung pembukaan dewan negeri.

“Patik akan memberi komitmen sepenuhnya agar inisiatif Kerajaan Selangor untuk membuka segera DNS dapat dilaksanakan selaras dengan titah pandangan Baginda Tuanku dan Raja-Raja Melayu.

“Sidang dewan ini amat penting baik di peringkat Kerajaan Negeri mahupun kerajaan pusat agar setiap perbahasan berkenaan isu rakyat mampu diperhalusi bersama dalam agenda kita memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

Kenyataan bersama itu dibuat Pengerusi BBC Elizabeth Wong dan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Rizam Ismail.

Pada 16 Jun, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu berpandangan Parlimen wajar segera bersidang bagi membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan juga peruntukan untuk membantu rakyat.

Ahad lalu, Menteri Besar Dato’ menjangkakan sidang DNS dijangka boleh dilaksana seawal minggu ketiga Ogos ini.