Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kes semakin meningkat, wakil rakyat pesan jangan abai SOP

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Penduduk pinggir bandar diingatkan tidak sesekali mengambil mudah amalan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) berikutan jangkitan Covid-19 semakin merebak di kawasan itu.

Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata tanggungjawab memerangi wabak berbahaya itu harus digalas bersama supaya kehidupan normal mampu dikembalikan.

“Walaupun di sini (Permatang) merupakan kawasan utara Selangor, namun kes Covid-19 banyak. Jadi, masyarakat perlu ubah sikap dan pupuk kesedaran untuk sama-sama jaga (SOP).

“Benda ini (Covid-19) berada di mana-mana dan kita tak nampak serta boleh menjangkiti walaupun tiada gejala demam, batuk atau selesema,” katanya kepada SelangorKini

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.

Sementara itu, Rozana berkata pusat khidmatnya membuat siar raya sejak tiga hari lalu ke setiap kampung bagi menggalakkan penyertaan masyarakat setempat ke program percuma.

“Kita juga memperhebat promosi di media sosial selain menggerakkan ketua kampung untuk menyampaikan mesej berkenaan program ini kepada penduduk,” katanya.

Semalam, sebanyak 52 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah Kuala Selangor daripada keseluruhan 2,612 yang dicatat di negeri ini.

ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin melawat lokasi program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI