Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis tawar pusat konvensyen jadi pusat vaksin

SHAH ALAM, 17 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menawarkan pusat konvensyennya di Bandar Seri Putra, Kajang sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Rektornya berkata pusat berkenaan mampu memuatkan 1,000 orang untuk suntikan vaksin Covid-19 selain mempunyai kemudahan parkir yang banyak.

“Kita menawarkan kepada kerajaan untuk menjadikannya sebagai PPV bagi membantu mencapai sasaran imuniti berkelompok dengan cepat.

“Kalau tiada halangan serta diluluskan, Kuis tiada masalah menyediakan kemudahan dan sentiasa bersedia,” kata Prof Dato’ Ab Halim Tamuri ketika dihubungi di sini hari ini.

Selangor menyasarkan memastikan sebanyak 80 peratus penduduk negeri ini menerima vaksin selewat-lewatnya September bagi mencapai imuniti berkelompok.

Bagi mencapai sasaran itu, Kerajaan Negeri melaksanakan tiga strategi iaitu membeli vaksin melalui Program Vaksinasi Selangor bagi mempercepat dan mencapai angka sasaran 165,000 suntikan sehari mulai Ogos.

Strategi lain termasuk memperkemas dan memperbanyak petugas di PPV sedia ada selain menambah lokasi baharu di lokaliti tertentu.