Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki 26 tahun antara 81 korban Covid-19 hari ini

SHAH ALAM, 26 JUN: Lelaki berusia 26 tahun yang menghidap obesiti antara 81 kes kematian direkodkan dalam negara akibat Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan jenazah mangsa bukan warga tempatan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan turut memberitahu dua kematian membabitkan individu berusia 30-an.

Mangsa terdiri daripada:

-Perempuan 31 tahun meninggal di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban yang mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi.

-Lelaki 38 tahun meninggal di Hospital Kuala Lumpur yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan kes kematian membabitkan individu berusia 40 tahun ke atas dengan penyakit antaranya darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Sebanyak 30 kes dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur (14), Johor (12), Negeri Sembilan (sembilan) dan Sarawak (lima).

Pahang dan Melaka pula masing-masing mencatat tiga kes, Labuan (dua) manakala Pulau Pinang, Kedah serta Terengganu (satu).

Keseluruhannya, sebanyak 4,884 individu maut di seluruh negara ekoran pandemik yang melanda sejak lebih setahun.