Categories
AGENSI SELANGOR

Majoriti warga emas Kuala Kubu Bharu selesai daftar vaksin

HULU SELANGOR, 8 JUN: Kebanyakan warga emas sekitar Kuala Kubu Baharu selesai mendaftar program suntikan vaksin Covid-19, kata wakil rakyatnya.

Lee Kee Hiong menjelaskan pihaknya bersama ketua kampung dan ahli majlis turun ke kawasan kediaman bagi membantu urusan tersebut.

“Kita lakukan program ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksana. Hampir semua warga emas sudah didaftarkan.

“Kita harap bekalan vaksin sampai secepat mungkin memandangkan terdapat banyak varian virus baharu dikesan,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Merdeka Kuala Kubu Baharu.

Pada 4 April, Kerajaan Negeri melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel)
secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan dua hingga lima juta dos vaksin yang mahu dibeli Kerajaan Negeri dijangka diterima sekitar Jun.

Pembelian itu penting bagi membantu mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.