Categories
SELANGOR

Mangsa ribut di Meru lega bumbung rumah siap dibaiki

SHAH ALAM, 28 JUN: Ribut yang membadai beberapa kawasan sekitar Meru baru-baru ini meninggalkan kesan kepada penduduk apabila kebanyakan mereka masih terkejut dengan bencana itu.

Yahya Rakiming Hassan, 54, yang tinggal di Jalan Limau berkata kejadian pada Khamis lalu, sekitar jam 3 petang menerbangkan atap zink ruang tamu kediaman dan dimasuki air.

Namun bapa kepada empat anak itu bersyukur tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa menimpa keluarganya termasuk penduduk berhampiran.

“Kami sekeluarga trauma sebab sebelum ini kalau hujan lebat dan angin kencang sekalipun, rumah tidak rosak tetapi kejadian kali ini bumbung terbang sampai ke rumah jiran sebelah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau lega kerana struktur rumah yang mengalami kerosakan kecil segera dibaiki dengan bantuan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

“Kerja baiki keroskan siap dalam tempoh kurang tiga hari. Saya tidak mampu menanggung kos pembaikan kerana pendapatan sebagai jurukimpal terjejas sejak tiga bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Perasaan sama dikongsi seorang lagi mangsa, Syahrul Nizwan Ahmad Husni, 35, yang berkata kejadian secara mengejut itu menyebabkannya kerugian hampir RM1,000.

Bumbung rumah Syahrul Nizwan Ahmad Husni yang siap dibaiki

“Ini kali pertama angin kuat sampai bumbung tercabut. Dulu di belakang rumah saya ada ladang kelapa sawit jadi angin kurang, tetapi sekarang pemilik sudah bersihkan dan tempat itu lapang.

“Bila fikir semua memang sukar nak lupakan peristiwa tersebut. Saya bimbang kalau kejadian sama berulang, namun berharap tidak berlaku apa-apa lagi selepas ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Khamis lalu, beberapa rumah di sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau mengalami kerosakan termasuk bumbung tercabut selain dihempap pokok.