Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor runding dapat bekalan vaksin sejak Januari

PETALING JAYA, 30 JUN: Rundingan bersama pembekal bagi mendapat bekalan vaksin di Selangor dimulakan sejak awal tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kelulusan hanya diperoleh daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia pada Jun.

“Jadi tidak timbul isu Selangor ‘mencuri’ atau mengambil stok vaksin disediakan untuk kerajaan persekutuan malah Pharmaniaga telah bekalkan lebih dari sewajarnya.

“Saya berharap dengan adanya Program Selvax akan membantu Selangor mencapai kadar imuniti kelompok lebih awal iaitu pada bulan Oktober ini,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas meninjau proses suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Selvax di Tropicana Garden Mall di sini hari ini.

Lokasi tersebut adalah PPV terbesar bawah program Vaksin Selangor (Selvax) yang mampu memberikan 16,000 dos vaksin dalam tempoh sehari.

Selvax dilancarkan bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk negeri ini yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.