Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang 2,000 lagi bakul makanan, bantu golongan terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Sejumlah 2,000 lagi bantuan bakul makanan akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan dan warga bandaraya ini minggu depan, kata pemangku Datuk Bandar Shah Alam.

Mohd Rashidi Ruslan berkata lebih 2,000 bantuan menerusi Program Bakul Prihatin Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu sudah disalurkan kepada golongan terjejas akibat Covid-19 sejak Februari lalu.

Katanya program itu sebahagian sokongan kepada Kerajaan Negeri khususnya Pakej Kita Selangor 2.0, yang diumum kelmarin.

Pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan

“Sejumlah RM150,000 diperuntukkan buat pemulaan program dan setakat semalam, sebanyak RM160,000 diperoleh menerusi sumbangan warga Shah Alam melalui kerjasama dengan 99 Speedmart,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada petugas barisan depan di MSU Medical Centre, di sini.

Pada program itu seramai 40 petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerima sumbangan bantuan makanan asas seperti tepung gandum, minyak masak, beras dan gula bernilai RM50.

Mohd Rashidi berkata sebahagian kutipan caj beg plastik akan digunakan bagi tujuan sama supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.